KWSP Sasar 80 Peratus Daripada Lebih 500,000 Pencarum Di Kelantan Pilih Simpanan Shariah

Posted on

kwsp-f-1200x630

KOTA BAHARU, 8 Ogos — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kelantan menyasarkan kira-kira 80 peratus daripada 504,361 pencarumnya di Kelantan bertukar kepada Simpanan Shariah yang akan dilancarkan bermula 1 Jan tahun depan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP Datuk Mohd Naim Darwish berkata ia berikutan majoriti penduduk di Kelantan adalah beragama Islam yang mahu simpanan mereka dilaburkan secara patuh syariah.

“Simpanan syariah ini merupakan satu pilihan kepada kira-kira 14.5 juta pencarum KWSP di seluruh negara yang kini mencarum di bawah skim konvensional biasa.

“Walaupun kami memperkenalkan Simpanan Shariah, namun dari segi caruman majikan dan pengeluaran masih tetap sama, yang berubah hanyalah kadar dividen,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Bangunan KWSP di Jalan Padang Garong di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi pencarum KWSP yang ingin bertukar kepada Simpanan Shariah perlu membawa kad pengenalan untuk pengesahan cap jari, manakala pencarum bukan warganegara Malaysia perlu membawa pasport.

shariah

Mohd Naim berkata pencarum kemudiannya akan mendaftar di kaunter KWSP dan akan diminta mengisi borang ‘akad wakalah’ bagi menandakan mereka bersetuju untuk menukar skim simpanan mereka.

“Masa menunggu bagi penukaran simpanan dari konvensional kepada syariah mungkin mengambil masa yang agak lama kerana saya lihat hari ini, ramai yang berminat nak tukar skim simpanan mereka. Bagaimanapun pencarum KWSP tidak perlu risau kerana kami buka pendaftaran sehingga 23 Dis depan.

“Di bawah Simpanan Shariah ini, pencarum tidak lagi memperoleh dividen minimum 2.5 peratus daripada jumlah simpanan dan ia bergantung kepada prestasi semasa KWSP, namun kami melantik lima pakar dalam ekonomi Islam bagi memastikan pelaburan yang dibuat adalah patuh syariah,” katanya.

KWSP memperuntukkan dana RM100 bilion, iaitu kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan jumlah aset pelaburannya sebanyak RM681.71 bilion sehingga Mac 2016 bagi melaksanakan Simpanan Shariah berdasarkan konsep ‘siapa cepat dia dapat’.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Bangunan KWSP Kota Baharu mendapati orang ramai mula menunggu seawal 7.45 pagi sebelum pejabat itu dibuka pada 8.15 pagi bagi menukar skim simpanan mereka.

Seorang pencarum KWSP Yusri Muhammad, 49, yang bertugas sebagai ketua jabatan kewangan di sebuah syarikat di sini, berkata beliau memilih Simpanan Shariah bagi memenuhi kewajipan sebagai orang Islam.

Beliau yang telah 15 tahun bekerja dengan syarikat tersebut berkata akan mempromosikan mengenai skim baharu tersebut kepada lebih 100 kakitangan di syarikat tempatnya bekerja.

Seorang lagi pencarum KWSP, Sharifah Norhidayah Che Hassan, 27, yang bertugas sebagai juruaudit berkata beliau mengetahui mengenai skim baharu tersebut daripada seorang rakannya.

“Saya memilih Simpanan Shariah ini kerana ia halal dan patuh syariah. Bila pendapatan yang diperoleh dari sumber yang halal, baharulah hidup akan diberkati,” katanya.

— BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s