Warga Asean Perlu Ambil Bahagian, Beri Sumbangan Ke Arah Pembinaan Komuniti Asean – PM Najib

Posted on

WhatsApp Image 2016-08-08 at 4.41.01 PMKUALA LUMPUR, 8 Ogos — Warga ASEAN bukan sahaja perlu meraih manfaat daripada ASEAN, tetapi juga berkewajipan mengambil bahagian dan memberi sumbangan terhadap usaha membina Komuniti ASEAN bagi memastikan pertubuhan itu terus mencapai kemajuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata antara prasyarat untuk mewujudkan sebuah Komuniti ASEAN dalam erti kata sebenar ialah memupuk semangat kekitaan serta identiti dalam kalangan rakyat di seluruh 10 negara yang menganggotainya.

“Hanya dengan cara ini sahajalah kita akan mempunyai sebuah Komuniti ASEAN yang benar-benar kohesif serta mencerminkan aspirasi warganya,” kata beliau dalam kenyataan bersempena sambutan Hari ASEAN ke-49 hari ini.

Sambil mengucapkan ‘Selamat Hari ASEAN‘ kepada seluruh rakyat Malaysia dan penduduk ASEAN, Najib berkata banyak lagi usaha yang perlu dilakukan sebelum ASEAN boleh menganggap dirinya sebagai sebuah komuniti yang benar-benar bersifat tunggal dan bersatu padu dari segi amalan dan nama.

Pembinaan Komuniti ASEAN merupakan proses berterusan dan sentiasa berkembang, manakala momentumnya pula perlu dipelihara bagi menjamin wujudnya kesepaduan politik, integrasi ekonomi serta keterangkuman sosial dan serantau, kata beliau.

“Komuniti kita perlulah mampu memberi respons secara berkesan terhadap ancaman yang timbul dan cabaran yang muncul daripada perubahan pesat landskap serantau dan global,” katanya.

Justru, kata beliau, tema yang dipilih Laos sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, ‘Menukarkan Visi Menjadi Realiti bagi Komuniti ASEAN Dinamik’, amat tepat pada waktunya dan sesuai kerana ia mencerminkan keazaman bersama penduduk ASEAN untuk terus mengintegrasikan rantau mereka dan memperkukuhkan komunitinya.

Najib berkata hampir lima dekad lepas, para pengasas ASEAN menandatangani Deklarasi Bangkok, yang secara rasmi menubuhkan persatuan itu, dan menurut beliau, hari berkenaan amat bersejarah kerana ia merakamkan komitmen beberapa negara Asia Tenggara untuk berusaha ke arah menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini pada masa akan datang.

“Apabila kita menyambut Hari ASEAN tahun ini, kita berbuat demikan untuk pertama kali sebagai satu komuniti. Ini kerana, pada 31 Dis 2015, di bawah kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, negara anggota pertubuhan ini menubuhkan Komuniti ASEAN.

“Ini merupakan suatu kejayaan penting bagi rantau ini, yang dibina daripada kebingkasan dan dinamisme yang menjadi ciri utama ASEAN melalui perjalanan yang ditempuhnya selama hampir separuh abad,” kata beliau, sambil menjelaskan bahawa warga ASEAN patut berbangga dengan hasil yang dicapai pertubuhan itu dalam tempoh hampir 50 tahun lepas.

Ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, ASEAN dianggotai 10 negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Brunei, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja.
— BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s