Merdeka 59,! Memahami Erti Merdeka Sebenar: Generasi Muda Seperti Burung Kakak Tua

Posted on

WhatsApp Image 2016-08-17 at 16.40.29

Tinggal beberapa minggu, kita akan menyambut hari kemerdekaan. Tahun ini sudah masuk 59 tahun, kita sebagai rakyat Malaysia meraikan kemerdekaan tetapi seringkali apa yang dipersoalkan adalah penghayatan masyarakat mengenai pengertian disebalik sambutan itu.

Kemerdekaan membawa definisi yang amat bermakna kepada sesebuah negara yang sudah bebas daripada pemerintahan penjajah. Ia juga ibarat harta yang bernilai dalam menentukan kedaulatan negara dan bangsa.

Negara kita juga tidak ketinggalan merasai nikmat kemerdekaan yang sebenar. Dalam menghayati dan mempelajari sejarah, kita dapat merasai erti pengorbanan yang sebenar meskipun kebanyakkan daripada kita tidak pernah melalui zaman dijajah ketika itu.

Malah, belajar sejarah juga menjadikan kita mengetahui bagaimana hendak menghargai sejarah negara dan bangsa kita sendiri. Bahkan, kemerdekaan sendiri sudah tertulis sebagai sebuah sejarah yang besar dalam negara kita.

Namun, sejauh manakah pemahaman masyarakat kita mengenai erti kemerdekaan yang sebenar? Melihat daripada fenomena pada masa kini, mungkin penghayatan kemerdekaan sudah kurang dirasai oleh generasi masa kini.

Mungkin, mereka lupa dalam mendalami erti pengorbanan nenek moyang dahulu yang bertungkus lumus memperjuangkan kemerdekaan.

Dalam banyak buku sejarah mendefinisikan kemerdekaan sesebuah negara adalah kuasa yang dimiliki rakyat negara tersebut. Biasanya, sesebuah negara runtuh bukan disebabkan orang luar tetapi bangsa dalam negara sendiri.

Malah, hal ini juga amat menyedihkan sekali apabila saban hari kita semakin menerima dengan terbuka budaya-budaya negatif dari negara barat menular masuk ke negara kita.

Pakar Sejarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nazarudin Zainun berkata, erti ‘harfiah’ merdeka ialah bebas yang bermaksud kebebasan adalah bebas daripada apa-apa belenggu.

“Dari konteks bahasa pula, merdeka bermaksud berubah-ubah. Dulu, merdeka merujuk kepada merdekanya seorang hamba tetapi, sejak adanya penjajahan, erti kemerdekaan telah berkembang menjadi besar baik dari segi makna mahupun tindakan.

“Namun, maksud merdekanya seorang hamba berbeza makna dengan merdekanya sesebuah negara. Bagi para pejuang, kemerdekaan itu tentu sekali mempunyai pengertian yang berbeza berbanding mereka yang sudah lahir dalam sebuah negara yang sedia merdeka,” katanya kepada Malaysian Digest.

Tambahnya, pengertian kemerdekaan bagi generasi muda adalah untuk mengisi kemerdekaan dan pada masa sama memastikan kemerdekaan yang dikecapi terus kekal melindungi agama, bangsa dan negara dari segi mental serta fizikal.

“Pemahaman kita mengenai kemerdekaan perlulah difahami dengan betul dan tepat barulah roh kemerdekaan itu boleh meresap dalam jiwa kita sehingga kita yakin dan percaya bahawa menjiwai erti kemerdekaan sebenar adalah sangat penting.

“Generasi muda haruslah berusaha gigih dalam mempertahankan kemerdekaan negara kita dari terus dibelenggu fitnah serta hasutan daripada pelbagai sudut terutama sekali melalui media sosial. Jika dulu, untuk menakluki sesebuah negara itu, tentera asing perlu datang secara fizikal dalam mengawal pentadbiran negara kita tetapi kini, tidak lagi.

“Dengan hanya menyebarkan fitnah, maka dengan mudah sesebuah negara itu akan runtuh dan merosakkan minda rakyat sendiri. Lihat sahaja contoh di negara-negara Timur Tengah.

“Segalanya bermula dengan fitnah melalui media sosial yang mudah disebarkan. Lahirlah generasi muda yang mempunyai kekuatan untuk memberontak seperti yang berlaku di Mesir sekarang,” katanya.

Katanya, sewaktu tanah air kita ditakluki penjajah, mereka akan sedaya upaya menyekat pemahaman kita mengenai sesuatu perkara dari aspek mental dan fizikal.

Namun, setelah negara kita diberikan kemerdekaan oleh pihak British, segala sistem berubah menjadi sekata. Kalau dilihat, tiada sekatan dari segi fizikal tetapi persoalannya apakah sekatan dari segi mental juga tiada?

Hal ini boleh dilihat dari beberapa isu yang hangat diperkatakan di negara kita. Saban hari, mata dan telinga kita terus disajikan cerita-cerita dari para ‘pakar’ dalam pelbagai bidang yang mengikut ‘musim’ tertentu.

“Apabila kapal terbang jatuh, maka jadilah mereka pakar dalam bidang aeronutik. Bila isu Ringgit Malaysia (RM) jatuh, bertambah ramai pula golongan yang menjadi pakar ekonomi dan kewangan.

“Begitu juga, apabila isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipermainkan, maka bertambah ramailah mereka yang pakar dalam bidang pelaburan.

“Apakah sikap yang diperlihatkan oleh masyarakat Malaysia kini melambangkan dari generasi sebuah negara yang sudah bebas? Mereka kelihatan menyatakan sesuatu seperti burung kakak tua. Ikut sahaja apa yang disogokkan tanpa mengkaji kesahihan sesuatu isu tersebut.

“Seharusnya, generasi muda menjadi penyambung pejuang-pejuang negara dengan mengambil sikap ‘tabayyun’ ke atas sesuatu perkara supaya segala tindakan membawa kepada kebaikan diri sendiri, masyarakat dan negara yang merdeka. Bukan sebaliknya,” katanya.

Dr Nazarudin berkata, generasi muda perlu mengambil sikap ‘tabayyun’ apabila berhadapan dengan sesuatu isu supaya kita tidak tersalah tindakan pada masa hadapan. Ini kerana, generasi muda yang berperanan sebagai pewaris bangsa adalah faktor terpenting dalam mengisi kemerdekaan negara.

“Ingatlah bukan mudah menghadirkan sebuah kemerdekaan kepada negara. Orang dulu sudah banyak bergadai nyawa.

“Kita yang tinggal harus bijak mewarisinya supaya kemerdekaan negara akan terus dijulang oleh anak cucu kita nanti dan yang terakhir, sebenarnya kemerdekaan ini bukanlah hak mutlak kepada kita tetapi pinjaman daripada anak cucu kita.

“Apa yang dipinjamkan, haruslah dikembalikan dengan keadaan yang baik, ataupun lebih baik,” katanya.

– Malaysian Digest

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s