PAS Sedia Bincang Dengan Parti Yang Mahu Kerjasama Dengannya

Posted on

Datuk-Mohd-Amar-Nik-Abdullah-Naib-Presiden-PAS

KOTA BAHARU, 23 Ogos — PAS sedia membuka ruang perbincangan dengan mana-mana parti yang ingin bekerjasama dengannya kecuali DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang disifatkannya sebagai pengkhianat kepada PAS.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tawaran perbincangan termasuk kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) yang dilaporkan sedang mengintai kerusi pembangkang untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menjelaskan pendirian PAS terhadap DAP dan Amanah, Mohd Amar berkata:

“Pendirian ini jelas kerana DAP telah jelaskan sikapnya yang anti PAS dan terbaharu jawatankuasa pemudanya juga menyatakan kalau ingin berkawan dengan DAP jangan cakap pasal Islam.

“Mana boleh PAS sebagai parti Islam berbuat demikian…takkan kita nak korbankan perjuangan parti kita. Amanah pula sudah jelas adalah pengkhianat kepada parti (PAS)…kalau (parti) yang lain boleh dibincangkan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Istiadat Konvokesyen Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Ke-18 di Balai Islam, Lundang di sini, hari ini.

Konvokesyen itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Turut hadir Ketua Eksekutif KIAS Prof Dr Ab Aziz Mohd Zain.

Kenyataan Mohd Amar itu sebagai mengulas kenyataan Presiden penaja Pribumi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berhasrat mengadakan rundingan pembahagian kerusi pembangkang, sebaik pendaftaran parti itu diluluskan Pendaftar Pertubuhan.

Mohd Amar berkata setakat ini tiada sebarang rundingan rasmi diadakan antara PAS dan Pribumi berhubung perkara berkenaan.

“Lagi pun perkara ini perlu dibincang di peringkat parti. Kita kena rujuk kepada jawatankuasa PAS pusat,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata kerajaan negeri sedia memberi kerjasama kepada kerajaan Persekutuan dalam menangani isu keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

“Kita akui sempadan negeri kita dan Thailand terlalu terbuka kerana jaraknya yang panjang dan tiada benteng. Walaupun ada kawalan, ruang untuk diceroboh itu terbuka,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang mengatakan sempadan Kelantan paling teruk dibolosi terutama untuk kegiatan penyeludupan dadah dan senjata api.
— BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s