Najib Sentiasa Dengar Suara Rakyat, Prihatin Pembangunan Sabah

Posted on

BajuMelayu290712_2

KUDAT, 28 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang pemimpin yang tidak jemu mendengar suara rakyat dan sentiasa prihatin terhadap pembangunan di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Musa berkata keprihatinan dan komitmen perdana menteri itu terserlah menerusi pelbagai projek pembangunan dan program transformasi yang diperkenalkan bagi memastikan pembangunan negeri Sabah seiring dengan negeri-negeri lain.

Ini termasuk memberikan peruntukan besar bagi pembangunan luar bandar Sabah termasuk bekalan air bersih, elektrik dan projek perumahan rakyat; selain memartabatkan institusi mahkamah anak negeri, peruntukan besar bagi ukuran tanah anak negeri dan memantapkan lagi kawalan keselamatan di negeri ini, katanya.

“Inilah pemimpin yang kita mahu, pemimpin prihatin dan banyak membawa kesejahteraan kepada rakyat, bukannya (pemimpin) kaki gaduh,” katanya berucap pada majlis perasmian persidangan perwakilan UMNO Zon 1 meliputi Kudat-Kota Marudu-Kota Belud-Tuaran di Dewan Tun Mustapha di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan perdana menteri yang juga Presiden UMNO. Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Belud.

Musa berkata, keprihatinan dan komitmen Najib terhadap Sabah tidak hanya terhenti kepada pembangunan semata-mata, tetapi diteruskan dalam aspek pengiktirafan Sabah termasuk Sarawak dalam persekutuan Malaysia.

Menurutnya, sebelum ini hanya tarikh 31 Ogos disambut sebagai Hari Kebangsaan, namun, bermula 2009 — iaitu tahun pertama Najib dilantik sebagai perdana menteri, kerajaan telah mengisytiharkan 16 Sept sebagai Hari Malaysia dan disambut secara rasmi besar-besaran.

Musa berkata, 16 Sept itu adalah tarikh keramat kerana Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta Singapura bersama-sama membentuk negara Malaysia.

“Keputusan itu membabitkan komitmen dan pengiktirafan signifikan terhadap kedudukan Sabah dan Sarawak dalam persekutuan Malaysia.

“Saya membangkitkan perkara ini kerana saya mahu rakyat Sabah khususnya anggota dan pemimpin UMNO tidak sekali-kali melupakan siapa yang mendengar suara rakyat Sabah,” katanya.

Di samping itu, Musa turut mengumumkan bahawa perdana menteri bersetuju dengan cadangan melantik Setiausaha Tetap Kewangan Negeri Sabah Datuk Pengiran Hassanel Pengiran Mohd Tahir sebagai ahli lembaga pengarah Petronas.

Katanya kerajaan negeri juga telah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Wan Zulkifli Wan Ariffin agar memberi peluang kepada anak Sabah memegang jawatan dalam projek syarikat itu yang dijalankan di Sabah.

Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah melahirkan penghargaan atas pengiktirafan besar kepada Sabah, dan semua keprihatinan itu diterjemahkan menerusi sokongan padu dan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Najib.

Dalam pada itu, Musa berkata, UMNO Sabah berikrar akan terus fokus dan bekerja keras dalam memastikan semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri akan dipertahankan pada pilihan raya akan datang.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua 25 ketua UMNO Bahagian di Sabah untuk bersama-sama memperkukuh perpaduan sekali gus memantapkan perjuangan parti dan terus membela nasib dan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Ketua Bahagian UMNO Kudat Datuk Bolkiah Ismail berkata kerajaan di bawah pimpinan Najib banyak merubah landskap pembangunan di Kudat, antara lain, pembinaan lebuhraya pesisir pantai dari Tuaran ke Kudat di bawah jajaran lebuhraya Pan Borneo dan pembinaan sebuah masjid besar di bandar ini.

Dalam pada itu, Bolkiah merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah memohon kerajaan membina sebuah sekolah menengah kebangsaan agama, membangunkan jalan di Pitas, Bongkol dan Telaga selain merancakkan pembangunan Pulau Banggi agar setanding dengan Labuan dan Langkawi termasuk sektor dalam
pelancongan.
– MediaUMNO

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s