D’Herbs, Aliff Syukri Terlajak Mulut

Posted on

aliff-syahirr

SIAPA tak kenal Aliff Syukri Terlajak Laris ahli perniagaan terkenal dikalangan orang melayu yang menjual produk kecantikan dan “kesihatan” di bawah jenama D’Herbs.

Semalam tersebar luas di media sosial status Facebook beliau yang secara ringkasnya merumuskan keadaan ekonomi Malaysia yang kononnya semakin teruk, kos sara hidup meningkat, perniagaan yang merosot, matawang Ringgit yang jatuh, kilang-kilang tutup dan berpindah keluar dari Malaysia ke negara luar, lambakan rakyat Malaysia yang bekerja pekerjaan am di negara luar seperti Australia dan macam-macam lagi.

Status Facebook tipikal seperti ini memang setiap hari kita boleh jumpa dan kalau ikutkan hati saya sendiri dah jemu membaca status rungutan seperti ini yang seolah-olah menggambarkan Malaysia berada dalam ambang krisis ekonomi yang maha dahsyat tanpa berpenghujung.

Sudah menjadi tabiat sesetengah rakyat Malaysia membandingkan keadaan ekonomi negara sendiri dengan negara luar seperti Aliff Shukri yang membandingkan matawang Thailand iatu Baht dengan matawang tempatan Ringgit dan juga membandingkan gaji bulanan pekerja di Thailand dan di Malaysia.

Eloklah sebelum saya mengulas lanjut, kita sama-sama menyemak fakta ataufact-check Aliff Shukri terutamanya berkaitan matawang dengan gaji pekerja di antara Thailand dan Malaysia.

syahir1
Tukaran Matawang MYR/THB: Bloomberg

Sebelum 2015, 1 Ringgit boleh membeli 10 Baht, selepas 2015, 1 Ringgit hanya boleh membeli 8.5 ke 9 Baht sahaja.

Ini bermaksud Ringgit susut lebih 10% berbanding Baht sejak penghujung 2014.

Kenapa Ringgit jatuh berbanding Baht? Adakah kerana ekonomi Malaysia terlampau teruk seperti yang cuba digambarkan oleh Aliff Syukri?

Faktor utama mengapa Ringgit menyusut berbanding matawang negara lain adalah kerana di Asia Tenggara Malaysia adalah pengeksport bersih petroleum (selain Brunei).

Sejak penghujung 2014, Ringgit menyusut seiring dengan kejatuhan harga minyak dunia.

Thailand selaku pengimport petroleum bersih, mendapat manfaat daripada kejatuhan harga minyak kerana ianya mengurangkan kos untuk mengimport petroleum ke dalam negara mereka.

Oleh sebab yang demikian Malaysia selaku pengeksport bersih petroleum mengalami kejatuhan matawang dan Thailand selaku pengimport bersih petroleum mengalami kenaikan matawang.

Penganalisis pasaran kewangan daripada Bank of America-Merrill Lynch (BofA-ML) menyatakan bahawa harga minyak rendah adalah berita baik untuk negara-negara di Asia kecuali Malaysia:

“Plenty has been written on the positive impact of lower oil on Asia. The bottom line is that Thailand, Korea, Singapore and India are the biggest beneficiaries of lower oil simply because they are the biggest net importers of oil. Our estimates show lower oil prices deliver a favorable mix of stronger growth and lower inflation for all countries in the region except Malaysia. Korea and Thailand benefit the most from the growth dividend (though Thailand did not really pass on the lower oil benefits last year), while India benefits the most from lower inflation, followed by the Philippines and Indonesia.”

Kalau anda tertanya-tanya kenapa matawang Brunei tidak jatuh walaupun Brunei bergantung kepada hasil petroleum, ini kerana Brunei mempunyai perjanjian dengan Singapura bahawa setiap 1 Brunei Dollar akan bersamaan dengan 1 Singapore Dollar.

Jadi kita kena faham mengapa Ringgit jatuh berbanding Baht dan bukan semata-mata menyebut ekonomi semakin teruk tanpa memberi konteks dan gambaran sebenar punca mengapa perkara tersebut berlaku.

Seterusnya berkenaan gaji pekerja di Thailand yang menurut Aliff Syukri, jauh lebih tinggi berbanding gaji pekerja di Malaysia.

Beliau tak mengulas lanjut gaji pekerja sektor apa yang lebih tinggi, berapa jumlah gaji di Thailand yang melebihi gaji di Malaysia dan sebagainya.

Tetapi eloklah kalau kita bandingkan purata gaji bulanan pekerja di Thailand dan Malaysia sebagai perbandingan untuk melihat sama ada ianya bertepatan dengan apa yang Aliff Syukri sampaikan.

Purata gaji bulanan pekerja di Thailand diambil daripada National Statistical Office, Thailand di dalam The Labor Force Survey dari 2010 hingga 2015 manakala purata gaji bulanan pekerja di Malaysia diambil daripada Department of Statistics Malaysia, di dalam Salaries & Wages Survey Report untuk tempoh yang sama.

syahir2
Purata Gaji Bulanan Pekerja di Thailand dan Malaysia

Di atas adalah purata gaji bulanan pekerja Thailand dan Malaysia di dalam matawang masing-masing.

Jika nak buat perbandingan mungkin tidak berapa tepat kerana kuasa membeli di Thailand dan Malaysia adalah berbeza.

Jadi kita akan gunakan piawaian antarabangsa untuk mengukur kuasa membeli daripada purata gaji bulanan pekerja masing-masing menggunakan Purchasing Power Parity (PPP) conversion factor daripada World Bank.

Purata gaji bulanan di atas akan ditukar kepada US Dollar mengikut PPP yang secara ringkasnya bermaksud unit nilai matawang tempatan yang diperlukan untuk membeli kuantiti barangan yang sama di Amerika Syarikat.

Contohnya pada 2015 tukaran matawang PPP untuk Thailand adalah 12.958, manakala Malaysia adalah 1.418.

Ini bermaksud pekerja Thailand memerlukan 12.96 Baht dan pekerja Malaysia memerlukan RM1.42 untuk membeli barangan berharga 1 Dollar di Amerika Syarikat.

Di bawah adalah purata gaji bulanan pekerja Thailand dan Malaysia setelah ditukar mengikut PPP conversion factor:

syahir3
Purata Gaji Bulanan Pekerja di Thailand dan Malaysia Mengikut USD (PPP)

Berdasarkan purata gaji bulanan dalam US Dollar, pekerja di Malaysia bukan sahaja menerima gaji bulanan lebih tinggi daripada pekerja di Thailand malah mempunyai kuasa membeli yang lebih tinggi.

Kalau Aliff Syukri ada bukti menunjukkan gaji pekerja di Thailand lebih tinggi, eloklah beliau mengemukakan bukti tersebut dan yang penting perbandingannya perlulah setara di antara jawatan, sektor, industi pekerja tersebut.

Ada kebenaran di dalam kata-kata Aliff Syukri apabila beliau menyatakan banyak kilang-kilang jenama gergasi tutup di Malaysia walaubagaimanapun beliau gagal memaklumkan kepada pembaca dan pengikut beliau yang Thailand mengalami nasib yang sama apabila banyak kilang-kilang syarikat antarabangsa ditutup sepanjang setahun dua yang lepas.

Antaranya kilang sarung tangan getah yang ditutup mengakibatkan 3,000 orang kehilangan pekerjaan, syarikat automotif terkemuka Amerika Syarikat General Motors menutup kilang pengeluaran kereta yang memberi kesan kepada 3,200 orang pekerja, syarikat buah Amerika Syarikat Dole Company yang menutup kilang secara tiba-tiba baru-baru ini dan mengakibatkan 1,500 hilang punca pendapatan dan banyak lagi kilang-kilang antarabangsa dan tempatan yang menutup operasi mereka di Thailand.

Selain daripada itu terdapat pelbagai petanda aras ekonomi lain yang membuktikan bahawa ekonomi Malaysia lebih baik daripada ekonomi Thailand contohnya pelaburan langsung asing (FDI) dimana Malaysia mencatatkan FDI lebih tinggi daripada Thailand pada tahun 2014 dan 2015:

syahir4
Aliran Masuk FDI Ke Thailand dan Malaysia: ASEAN

KDNK Per Kapita atau pengeluaran ekonomi dibahagi dengan setiap penduduk rakyat juga menunjukkan Malaysia jauh meninggalkan Thailand:

syahir5
KDNK Per Kapita Malaysia dan Thailand: World Bank

Malah pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih stabil dan kebelakangan ini mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi berbanding Thailand:

syahir6
Pertumbuhan KDNK Malaysia dan Thailand: World Bank

Mungkin Aliff Syukri tak kisah tentang statistik dan angka di atas tapi rakyat Malaysia perlu sedar bahawa bukan segala-galanya baik di tempat orang.

Saya tak mahu ulas tentang rakyat Malaysia yang bekerja di Australia yang kononya dipandang rendah oleh orang Australia.

Banyak yang saya dengar pergi ke Australia untuk memetik buah di kebun-kebun dan khabarnya mendapat gaji beribu-ribu (selepas ditukar ke Ringgit).

Warga Australia memang terkenal dengan sifat perkauman mereka seperti yang dilaporkan sendiri oleh sebuah akhbar tempatan Sydney Morning Herald di sini.

Jika ada yang memilih untuk berhijrah mencari pekerjaan di Australia atau mana-mana negara lain, itu terpulang pada pilihan masing-masing.

Jika anda dipandang rendah oleh warga tempatan, itu tak ada kena mengena dengan hal ehwal ekonomi negara kerana ekonomi Australia juga terkesan teruk dengan kejatuhan harga komoditi dunia.

Kelebihan Australia daripada Malaysia hanyalah matawangnya yang secara relatif lebih tinggi berbanding Ringgit tetapi Australian Dollar juga terkesan dengan kelembapan ekonomi, kejatuhan harga komoditi dan sebagainya.

syahir7
Tukaran Matawang AUD/USD: Bloomberg

Saya tertanya-tanya sama Aliff Syukri menulis status sedemikian kerana ekonomi Malaysia teruk atau kerana perniagaan beliau terjejas.

Ada beza antara keduanya kerana di dalam sektor tertentu ada yang mengalami kejatuhan yang lebih teruk berbanding sektor lain.

Jika anda bertanya kepada rakan-rakan anda yang bekerja di dalam industri minyak dan gas (O&G) sudah pasti jawapan yang anda akan terima adalah ekonomi sekarang teruk.

Aliff Syukri mempersoalkan apabila ramai di antara rakyat Malaysia yang mula berniaga secara sambilan contohnya di atas talian (online) dan beliau merungut bahawa jika semua orang berniaga siapa yang hendak membeli.

Sangat jelas bahawa Aliff Syukri tidak faham ilmu ekonomi walaupun beliau berjaya dalam bidang perniagaan.

Setiap peniaga juga adalah pengguna.

Mana ada peniaga yang hanya menjual benda dan tidak membeli langsung.

Lebih separuh daripada perbelanjaan domestik adalah perbelanjaan pengguna malah sumbangan perbelanjaan pengguna kepada ekonomi Malaysia meningkat setiap tahun.

Aliff Syukri sepatutnya menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia berniaga untuk menambah pendapatan sampingan bukan merungut tentang siapa yang akan membeli produk beliau.

Adakah beliau telah menjalankan kajian pasaran sama ada benarkah perniagaan beliau semakin lembab kerana ekonomi negara ataupun kerana produk beliau mendapat kurang sambutan daripada orang ramai?

Kita selalu menganggap ekonomi negara lain selain negara kita lebih baik, lebih maju dan sebagainya sedangkan setiap negara mengalami masalah mereka sendiri.

Rakyat Thailand ada yang tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi semasa negara mereka, rakyat Singapura ada yang hendak berhijrah keluar dari Singapura dan begitulah juga rakyat Malaysia yang sentiasa merasa ada sahaja yang tidak kena dengan negara sendiri.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.
Sumber dipetik dari : Syahir

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s