Budaya Negatif,! Pelajar Universiti Perlu Singkir Sebelum Melarat Jejaskan Pengajian

Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.
Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.

ALOR GAJAH, 31 Ogos — Pelajar universiti, terutamanya pelajar baharu, perlu menyingkir dan mengelakkan budaya negatif yang sering membelenggu pelajar sebelum melarat hingga memudaratkan pengajian mereka, kata Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.

Beliau berkata budaya negatif seperti malas, suka bertangguh dan ponteng kelas yang sering kedengaran berlaku dalam kalangan pelajar universiti, perlu disingkirkan, selain menghargai peluang terpilih melanjutkan pengajian yang tidak dimiliki semua orang.

“Kami berharap pelajar ini akan sentiasa mematuhi peraturan universiti seterusnya mencari jalan memperbaiki diri supaya menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang.

“Adalah diharapkan agar semua pelajar menghargai peluang yang diberi di samping gigih menuntut ilmu demi masa depan dan keluarga,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu Haluan Siswa, di kampus induk universiti itu di Durian Tunggal di sini, Selasa malam.

Majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron dan turut dihadiri Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka Datuk Md Yunos Husin.

Seramai 2,483 pelajar baharu mendaftar di UTeM bagi pengambilan sesi September 2016/2017 termasuk 1,949 peringkat Ijazah Sarjana Muda manakala selebihnya diploma.

Sementara itu, Idris berkata UTeM perlu memberi penekanan yang seimbang dari sudut insaniah di samping pengetahuan dan pencapaian akademik yang akan meningkatkan kebolehpasaran pelajar pada masa hadapan.

“Kita mahu produk yang baik dan berkualiti serta menjadi sebutan di pasaran kerana mereka ini lazimnya menjadi ‘social mobilizer’ dan pencetus penyelesaian masalah sekurang-kurangnya kepada keluarga.

“Saya menyasarkan UTeM yang melalui perkembangan pesat akan mampu menampung 15,000 pelajar berbanding 10,997 kini,” katanya.

— BERNAMA

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.