Permainan Paling Kotor Syed Saddiq Dan Keluarga Mahathir Untuk Memonopoli Sukan Bermotor Tanahair

1) Sepang International Circuit dibina oleh kerajaan di bawah Mahathir pada tahun 1999, kononnya untuk melonjakkan nama negara di pentas dunia dengan penganjuran Formula 1.

Perkara ini memang benar. Penganjuran Formula 1 yang gilang-gemilang antara tahun 1999 dan 2017 memang telah mengharumkan nama negara.

Akan tetapi, tidak juga dapat dinafikan sejumlah wang yang besar perlu dilabur untuk penganjuran, lebih RM100 juta keseluruhan setiap tahun. Ini bermakna sudah berbillion ringgit dibelanjakan untuk F1 dan MotoGP di Sepang.

2) Akan tetapi terselindung di sebalik penganjuran F1 ini adalah dominasi kaum kerabat dan kroni Dr Mahathir ke atas Sepang International Circuit.

Tidak pernah sejak ditubuhkan Sepang International Circuit ini boleh dianggap sebagai suatu entiti yang menguntungkan. Manakan tidak, bajet penganjuran dua acara besarnya pun datang dari kerajaan ataupun Petronas.

Hakmiliknya pun berubah-ubah, dari di bawah Malaysia Airports Berhad asalnya, pada tahun 2008 diletakkan di bawah Kementerian Kewangan dan sejak tahun lalu, apabila Pakatan Harapan memerintah, diletakkan pula di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

3) MOKHZANI – Watak penting dalam Sepang International Circuit ini sudah tentulah Tan Sri Mokhzani Mahathir, yang dari tahun 2005 sehingga ke 2016 telah memegang jawatan Pengerusi. Walau telah meletakkan jawatannya sebagai pengerusi, Mokhzani masih lagi ahli lembaga pengarah SIC.

RAZLAN – Watak kedua ialah Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali, anak saudara Tun Dr Mahathir, sepupu kepada Mokhzani. Anak kepada Arwah Tan Sri Ahmad Razali Mohd Ali, bekas Menteri Besar Selangor yang merupakan abang kepada Tun Dr Siti Hasmah. Beliau sudah 13 tahun menjadi CEO Sepang International Circuit, merangkap CEO Motorsports Association of Malaysia (MAM).

AZMAN – Tan Sri Azman Yahya dilantik ahli lembaga pengarah SIC sejak tahun 2005 dan dilantik pengerusi menggantikan Mokhzani pada tahun 2016. Beliau juga merupakan pengerusi MAM sejak tahun 2008.

3 orang ini adalah watak penting dalam usaha memonopoli sukan bermotor tanahair oleh kaum kerabat Mahathir.

4) Automobile Association of Malaysia (AAM) merupakan badan kebangsaan sukan bermotor tanahair sejak sebelum Merdeka lagi. Ia merupakan badan yang diikhtiraf oleh FIA (Persekutuan Otomobil Antarabangsa), FIM (Persekutuan Motorsikal Antarabangsa) dan CIK (Jawatankuasa Karting Antarabangsa) sebagai badan pengelola sukan bermotor tanahair.

Mokhzani dan Azman memang sudah lama mengidam hendak mendapatkan kuasa selaku badan kebangsaan dengan menubuhkan persatuan dengan tujuan untuk menggantikan AAM.

Usaha mereka ini telah bermula dengan penubuhan Royal Automobile Club of Malaysia (RACM) pada tahun 1998 dan setelah gagal, mereka menggunakan pengaruh Mahathir untuk mendapatkan sokongan kerajaan dan menubuhkan Motorsports Commission of Malaysia (MCM) pada tahun 2005, pada masa itu dengan sumbangan RM5 juta dari kerajaan.

MCM ini pula ditambah dengan agensi dibawahnya, iaitu Motorsports Association of Malaysia (MAM) pada tahun 2006. MAM ini ditubuhkan sebagai syarikat Sdn Berhad yang dijamin oleh kerajaan.

Namun usaha mereka untuk mempengaruhi FIA dan FIM untuk memberikan hak selaku badan kebangsaan sukan bermotor sekali lagi gagal. Malah presiden FIA pada tahun 2008, Max Mosley sendiri telah datang ke Malaysia dan menyatakan tiada sebab AAM harus dihukum dan ini tidak akan berlaku.

Perlu diingat, AAM bukanlah suatu persatuan yang kecil. Keahliannya sahaja melebihi 3,000 orang. Dan AAM merupakan satu-satunya persatuan sukan tanahair yang tidak mendapat apa-apa suntikan dana kerajaan untuk beroperasi.

Sejak tahun 2017, AAM telah mengahadapi masalah kewangan akibat perniagaan breakdown servicenya yang kian merudum. Ini merupakan penyumbang terbesar keuntungan AAM sejak sekian lama, namun kemunculan pelbagai breakdown service, ada yang percuma oleh syarikat pengeluar kereta dan insurans, telah banyak menjejaskan AAM.

Dalam mesyuarat agung tahunan 2017, ahli-ahli AAM telahpun menyuarakan ketidakpuasan hati dengan pengurusan dan mereka membantah penjualan aset bagi tujuan menyelesaikan hutan. Telah berlaku sedikit pergolakan, tetapi ini biasa dalam mana-mana persatuan. AAM sendiri telah mengambil langkah penstrukturan semula dengan ikhsan ahli-ahli mereka.

Razlan dapat menghidu peluang ini dan pada mulanya ingin mengorak langkah untuk mengambil alih pentadbiran AAM, namun mungkin menyedari dia tidak mendapat sambutan kerana sudah lama diketahui agendanya mahu menghancurkan AAM.

Setelah pertukaran kerajaan dan Tun Dr Mahathir mengambil alih sebagai Perdana Menteri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah dinamakan sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru pada 12 Julai tahun 2018.

Tiba-tiba pada bulan September, AAM telah dimaklumkan oleh FIM tentang satu surat dari Syed Saddiq, menyatakan bahawa kerajaan Malaysia tidak lagi mengikhtiraf AAM sebagai badan kebangsaan yang bertanggungjawab ke atas sukan bermotorsikal di Malaysia dan “mengarahkan” FIM untuk berurusan dengan MAM.

FIM telah memaklumkan kepada AAM bahawa mereka tidak akan melanggar peraturan mereka sendiri dengan mengikut telunjuk Syed Saddiq.

Malah dalam apa-apa sukan pun di peringkat antarabangsa, sebenarnya diharamkan campurtangan kerajaan atau entiti politik dalam sukan. Jadi badan antarabangsa tidak akan melayan sebarang campurtangan kerajaan.

Harus diingat, surat ini Syed Saddiq tulis hanya dua bulan selepas menjadi menteri. Ini agak pelik.

Pada bulan November pula, beberapa hari selepas AAM mengadakan townhall bersama ahli bagi tujuan membentuk jawatankuasa-jawatankuasa bagi memacu penstrukturan semula, tiba-tiba AAM mendapat surat dari Syed Saddiq, memaklumkan bahawa KBS telah membatalkan pendaftaran mereka atas sebab kegagalan mengemukakan laporan tahunan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan juga gagal meminda perlembagaan mereka seperti yang diarahkan.

Di sini berlaku satu lagi perkara pelik, di mana AAM pula diarahkan oleh Menteri untuk membuat pengumuman bahawa persatuan mereka telah dibubarkan. Nyata AAM telah beranggapan ini suatu perkara yang menimbulkan kemusykilan, lalu mengambil keputusan berdiam diri.

Ini kerana adalah protokol dalam mana-mana kementerian, jika ada keputusan sebegini, biasanya diumumkan oleh menteri atau Pesuruhjaya Sukan. Contohnya setiap kali berlaku penggantungan atau pembubaran persatuan sukan di bawah Akta Pembangunan Sukan, menteri, Pesuruhjaya Sukan atau setidak-tidaknya timbalan menterilah yang akan mengumumkannya.

Menyuruh pihak yang dikenakan hukuman itu mengumumkan sendiri hukuman yang dikenakan terhadapnya adalah satu perkara yang tidak masuk akal.

Langkah seterusnya yang diambil oleh AAM adalah memaklumkan badan-badan antarabangsa yang berkaitan, iaitu FIM, FIA dan CIK berkenaan situasi ini dan mereka telah diberikan jaminan bahawa AAM masih diikhtiraf oleh mereka.

Setelah berbulan AAM berdiam diri, tiba-tiba pada bulan Februari, beberapa media seperti telah dicucuk oleh pihak tertentu untuk bertanyakan kepada Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman tentang kedudukan AAM dan surat pembatalan pendaftaran mereka yang ditandatangani oleh Syed Saddiq pun dibocorkan. Maka umum pun tahu lah tentang pembatalan pendaftaran AAM itu.

Di media sosial pun hangat berlaku perdebatan antara penggemar-penggemar sukan bermotor. Dalam banyak-banyak thread, Razlan dilihat aktif membahaskan dan menyokong pembatalan AAM itu.

Dalam komen-komennya beliau sendiri seperti membuka pekungnya dengan menceritakan kronologi perkara-perkara seperti di atas, termasuk bagaimana AAM telah diarahkan untuk mengumumkan sendiri hukuman yang telah dijatuhkan ke atas mereka.

AAM membalas dengan mengeluarkan satu kenyataan bahawa mereka sedang mengambil langkah-langkah untuk membetulkan keadaan dan telah mendapat jaminan dari badan-badan antarabangsa bahawa mereka masih lagi diikhtiraf.

Pada 21hb Mac, media telah melaporkan bahawa Razlan telah meletakkan jawatannya sebagai CEO MAM untuk memfokuskan tenaganya kepada pengurusan SIC dan juga pasukan MotoGP Petronas Sepang Racing Team (tajaan Petronas untuk pasukan anak saudara Mahathir).

Menurut laporan itu juga, Razlan telah menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada pengerusi MAM yang baru, iaitu Tan Sri Mokhzani Mahathir, yang menggantikan Azman Yahya, yang masih Pengerusi SIC dan masih ahli lembaga pengarah SIC dan juga MAM.

Di sini amat jelas sekali permainan paling kotor ahli keluarga dan sekutu Mahathir dalam usaha memonopoli sukan bermotor tanahair. Mereka sudahpun mendominasi Sepang International Circuit dan kini telah menggunakan kesediaan Syed Saddiq untuk menyalahgunakan kuasanya selaku menteri untuk memainkan taktik kotor bagi mendapatkan kuasa sebagai badan kebangsaan untuk sukan bermotor.

Mereka tahu bahawa mereka kurang diminati di kalangan komuniti sukan bermotor dan tidak mungkin mereka dapat menguasai AAM yang dimiliki rakyat jelata dengan keahlian lebih 3,000 orang. Jadi mereka menggunakan saluran politik dan taktik kotor untuk membunuh AAM, supaya MAM yang mereka kuasai itu dapat mengambil alih hak sebagai badan kebangsaan yang diikhtiraf.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.