Pembinaan Jambatan Malaysia-Thailand Tahun Depan – Mustapa

14480575_10154698968075039_7777355590409732848_o

KOTA BHARU, 2 Okt — Pembinaan jambatan yang menghubungkan Pengkalan Kubor, Tumpat dengan Takbai, Narathiwat serta pembesaran jambatan Sungai Golok yang menghubungkan Rantau Panjang, Pasir Mas dengan Sungai Golok, juga di Narathiwat, dijangka dimulakan pada suku ketiga tahun depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kedua-dua jambatan itu akan dibina dengan kos yang ditanggung secara bersama dengan Thailand.

“Kita anggarkan bagi jambatan Pengkalan Kubor-Takbai itu akan menelan belanja sebanyak RM70 juta hingga RM80 juta bagi pihak Malaysia sahaja, manakala bagi pembesaran Jambatan Sungai Golok pula kosnya sekitar RM30 juta hingga RM40 juta.

“Selain pembinaan dan pembesaran jambatan itu, kita juga akan menaik taraf jalan yang menghubungkan kedua-dua kawasan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Menerokai Pasaran Antarabangsa bersempena Pameran Perdagangan Sempadan ASEAN di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Dzulkifli Mahmud.

KB05_021016_ASEANPerdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berkunjung ke Thailand bulan lepas, dipetik sebagai berkata kerajaan Malaysia dan Thailand bersetuju untuk mempercepat pembinaan jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok dan Pengkalan Kubor-Takbai bagi membolehkannya siap pada pertengahan tahun depan daripada jadual asal pada 2018.

Malaysia dan Thailand juga bersetuju untuk menyegerakan projek pembesaran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), menekankan bahawa ia merupakan pintu masuk penting bagi perdagangan sempadan antara kedua-dua negara.

Satu lagi keputusan penting yang dapat meningkatkan lagi hubungan ekonomi dan rakyat di kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi ialah persetujuan untuk mengadakan kajian kemungkinan mengenai projek kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Bangkok.

Mustapa berkata dengan pembinaan jambatan tersebut, ia dijangka dapat meningkatkan lagi hubungan perdagangan di kawasan sempadan terutama di Kelantan selepas ini.

Beliau berkata selain itu, ia juga dapat mengurangkan kesesakan di pintu masuk terutama di Kompleks CIQ Rantau Panjang.
— Bernama

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.