Video: “Awak Tahu Saya Siapa”?: YB ‘Bergaduh’ Dengan Pengayuh Beca Tak Sekolah, YB Je Yang Sekolah

YB ‘Bergaduh’ Dengan Pengayuh Beca

Seorang Exco di negeri Melaka yang pernah terpalit dengan beberapa isu kontroversi sebelum ini terus menjadi bualan ramai. Ia susulan tular satu video baru di laman sosial yang memaparkan aksi ‘perang mulut’ antara exco terbabit dengan seorang individu di perkarangan Menara Taming Sari. Orang ramai beranggapan tindakan exco tersebut biadap dan tidak beretika.

Exco terbabit merupakan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi, Norhizam Hasan Baktee. Menerusi laporan Sinar Harian, video yang berdurasi 1.34 minit itu memaparkan perbincangan oleh Norhizam dan dengan beberapa individu mengenai permasalahan yang dihadapi oleh beberapa peniaga di sekitar Menara Taming Sari disusuli dengan aksi tegang.

Walaubagaimanapun, Norhizam telah menafikan beliau bertindak biadap dan menganggap video yang dirakam tersebut tidak dirakam secara keseluruhan memandangkan hanya babak gaduh sahaja yang ditularkan.

Beliau menambah, tindakan individu terbabit berniat jahat dan fitnah dengan tujuan menjatuhkan integriti dan maruahnya selaku penjawat awam. Secara tidak langsung penularan video tersebut telah memberi persepsi buruk terhadap dirinya sedangkan beliau tidak pernah sama sekali merendahkan golongan pengayuh beca di negeri Melaka.

Susulan insiden itu, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Hilir. Ini bukan kali pertama Norhizam terpalit dengan aksi-aksi kontroversi memandangkan banyak aduan dari penduduk setempat tentang tingkah laku beliau yang tidak digemari.

Berdasarkan laporan Utusan Malaysia, antara isu yang dikaitkan dengan beliau ialah kekecohan yang berlaku dalam serbuan di stor simpanan baja di Merlimau pada Ogos tahun lalu.

Video Aksi di Taman Akasia Melonjakkan Kontroversi

Disusuli perbalahan dengan sekumpulan nelayan di Kampung Hailam, Tanjung Kling beberapa hari kemudian dan seterusnya aksi pertengkaran dengan sekumpulan penduduk berhubung penutupan jalan perumahan di Taman Akasia sehingga menjadi tular.

Pada bulan Oktober tahun lepas, sewaktu diwawancara oleh Utusan Malaysia, beliau telah menjelaskan setiap insiden yang berlaku. Bagi isu serbuan stor simpanan baja di Merlimau, tindakan merobohkan bangunan terbabit disebabkan surat yang diterima dari Pejabat Tanah dan Daerah Jasin yang melarang pembinaan stor di tanah milik kerajaan negeri.

Bagi kes pertengkaran dengan sekumpulan penduduk berhubung penutupan jalan di Taman Akasia, beliau menjelaskan setibanya di kawasan itu beliau diserang oleh sekumpulan 10 penduduk dengan kata-kata yang kasar.

Walaupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberi penerangan, penduduk masih tidak menerima dan menuding jari kepadanya dengan nada tinggi sehingga menyebabkan beliau meninggikan suara.

Sebab Bendera Pun Gaduh

Namun begitu, beliau tidak menjelaskan kes perbalahan di kampung nelayan. Berdasarkan rakaman video, perbalahan yang berlaku disebabkan bendera parti politik (BN) yang tidak diturunkan. Tindakan Norhizam yang meninggikan suara memarahi penduduk kerana tidak menurunkan bendera menyebabkan nelayan kampung di kawasan tersebut ‘naik angin’.

Tindakan Norhizam dikatakan seperti tidak menghormati pendirian politik penduduk walaupun penduduk menghormati dan menerima pentadbiran kerajaan negeri Melaka yang baharu malah sanggup bekerjasama sekiranya diperlukan.

Terpulang Kepada Netizen

Benar, budi bahasa sangatlah penting lebih-lebih lagi ketika berbicara dengan orang yang lebih tua. Malah, jawatan selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah dipilih oleh rakyat maka tindakan yang lebih lunak dan berhemah perlu ditonjolkan.

Sama ada tindakan Norhizam wajar atau pun tidak, terpulang kepada kebijaksanaan individu untuk menilainya. – Sumber: Apa Kata Orang

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.