Sultan Brunei Tiba Untuk Lawatan Tiga Hari

brunei-sultan-e1475473618531

PETALING JAYA, 3 Okt – Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Malaysia untuk lawatan tiga hari mulai hari ini.

SG03_031016_BRUNEIBaginda tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, dekat sini pada 12.11 tengah hari diiringi permaisuri Raja Isteri Pengiran Anak Saleha serta pegawai kanan kerajaan.

Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha disambut Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar selaku menteri pengiring.

Sejurus selepas pesawat khas baginda mendarat, baginda memeriksa perbarisan kehormat yang dianggotai dua pegawai dan 26 anggota Batallion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Kapten Safwan Jaafar.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan rasmi Sultan Hassanal itu adalah bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-20 antara Malaysia dan Brunei.

“Rundingan ini merupakan acara penting dalam kalender tahunan bagi kedua-dua negara, ia adalah platform peringkat tertinggi bagi perbincangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.

Brunei menjadi tuan rumah bagi Rundingan Tahunan Ke-19 di Bandar Seri Begawan pada 11 Ogos, tahun lepas.

Siri Rundingan Tahunan Antara Ketua-Ketua Kerajaan Malaysia dan Brunei diadakan secara bergilir antara kedua-dua negara.

Wisma Putra berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengalu-alukan lawatan Sultan Brunei itu sebagai susulan kepada rundingan tahun lepas dalam usaha untuk terus memupuk dan mengukuhkan lagi kerjasama yang telah sekian lama terjalin antara Malaysia dan Brunei.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijadual meraikan Sultan Brunei Sultan Hassanal dan Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha pada majlis jamuan tengah hari di Seri Perdana, Putrajaya esok.
— Bernama

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.